Derita Zuhaimi Sedikit Terubat
Seorang pesakit lumpuh, Zuhaimi Abidin menerima sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang, di rumahnya di Marang, semalam.
Zuhaimi, 36, penebang kayu dari Kampung Batu 13 1/2 Jalan Kuala Berang, Marang itu lumpuh seluruh badan sejak lima bulan lalu kerana terjatuh dari pokok.
A. Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mendapat bantuan dari Tabung Darul Iman dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu untuk Zuhaimi.
"Alhamdulillah hari ini, saya menghulurkan sumbangan barangan berjumlah RM1,000 kepada Zuhaimi.
"Barangan keperluan harian itu termasuklah pampers, susu, tisu lembab. Semoga sumbangan ini dapat memberi kegembiraan dan mengurangkan sedikit bebanan kepada keluarga ini, " katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (J3K) Kampung Cerang Cina, Abd Rahman Mat.
Penebang kayu itu kini terlantar dan dijaga dua adik perempuannya secara bergilir-gilir.
Zuhaimi sebelum ini sudah menerima rawatan kira-kira sebulan di hospital termasuk menjalani pembedahan tulang belakang sebelum dibenarkan pulang ke rumah.