Dokumen 1978 Bukti Petroleum Milik Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Dokumen antara Terengganu dan Petronas yang wujud sekitar tahun 1978 menjadi bukti petroleum sememangnya milik Terengganu.

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan Ali menegaskan, disebabkan itu dari tahun 1978 sehingga 2000, Petronas telah membayar (royalti) kepada Terengganu mengikut perjanjian yang ditandatangani tanpa sebarang gangguan.

"Respons Kerajaan Persekutuan berhubung halangan Akta Laut Wilayah 2012 terhadap pembayaran royalti petroleum Terengganu adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Ini menunjukkan tindakan Kerajaan Persekutuan memperalatkan undang-undang bagi menghalang hak negeri, kerajaan dan rakyat Terengganu," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Pada hakikatnya kata beliau, tujuan penggubalan Akta Kemajuan Petroleum (Akta 144) adalah untuk perkongsian pembayaran tunai antara Petronas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan keuntungan yang dibuat oleh Petronas melalui penjualan petroleum.

“Akta 144 tidak memberikan sebarang tafsiran bagi istilah ‘pantai’ (onshore) dan ‘luar pantai’ (offshore) dan kedua-dua istilah ini juga tidak pernah diikat dengan sebarang tafsiran dalam undang-undang yang lain.

“Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) bagi menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) pula yang memperuntukkan had laut wilayah Malaysia sepatutnya menjadi instrumen untuk menjamin kedaulatan negara, bukannya menjadi alat bagi mencabuli sempadan wilayah negeri untuk merampas hasilnya,” ujarnya.

Eikhwan Ali.

Kerana itu katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan tegas telah menolak pemakaian Akta 750 ini.

"Lebih awal menolaknya ialah Kelantan dan Sabah," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa mentafsirkan subseksyen 3(3) Akta 750 dengan menetapkan had laut wilayah negeri pada takat tiga batu nautika dari garis air surut telah mengecilkan sempadan negeri.

"Ia sepatutnya tidak boleh berkuatkuasa melainkan dengan persetujuan negeri dan perkenan Majlis Raja-Raja," katanya.

Terdahulu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai pemakaian dan implikasi Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] ke atas Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] serta perjanjian-perjanjian berkaitan.

Azalina berkata, Petronas hanya akan membuat pembayaran wang tunai sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu sekiranya petroleum didapati dan diperoleh di negeri itu.

"Sekiranya tiada petroleum didapati dan diperoleh dalam sempadan lebar laut wilayah negeri Terengganu setakat tiga batu nautika, tiada pembayaran wang tunai berdasarkan PDA dan perjanjian wang tunai perlu dibuat oleh Petronas.
"Persoalan sama ada TSA menjejaskan pemakaian PDA atau mana-mana surat cara dan perjanjian yang telah dibuat di bawahnya adalah tidak berbangkit," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

 


Tag: