EKSPO TERENGGANU 2018: Hari Ketiga Rekod Lebih 100,000 Pengunjung

Orang ramai yanng mengunjungi Ekspo Terengganu 2018. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Dalam tempoh tiga hari, sehingga semalam hampir 100,000 individu pelbagai peringkat umur direkod mengunjungi Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Stadium Negeri, Gong Badak Kuala Nerus.

Timbalan Pengerusi 2 Jawankuasa Induk ekspo itu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata, jumlah itu termasuk 60,000 individu yang mendaftar bagi menyertai pertandingan cabutan bertuah bagi merebit pelbagai hadiah harian dan utama.

Ekspo yang  bermula 25 Februari hingga 3 Mac itu,  mendapat sambutan luar jangkaan apabila pengunjung tanpa menghiraukan cuaca panas membanjiri tapak ekspo bagi mendapatkan maklumat pembangunan kerajaan negeri serta menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Pengunjung dari Kampung Bukit Payong, Marang, Zarida Zakari berkata, hadiah lumayan yang disediakan untuk cabutan bertuah boleh dianggap sebagai sumbangan berharga kepada rakyat Terengganu.

"Saya sangat teruja untuk datang ke ekspo ini dan sejak awal pagi tiba bersama keluarga untuk merasai sendiri apa yang disajikan kepada orang ramai," katanya ketika ditemui di tapak ekspo, semalam.

Pelbagai hadiah lumayan, termasuk tanah, rumah dan kereta bernilai lebih RM1.5 juta bakal dimiliki pengunjung Ekspo Terengganu 2018.

Program dan aktiviti menarik disusun sepanjang ekspo berlangsung bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai kejayaan pembangunan yang dilakar Terengganu.

Ekspo itu juga menyediakan lebih 200 lot jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS), 64 peniaga car boot sale, 55 peniaga kenderaan saji dan 20 peniaga T-Kitchen.

Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan selebriti dan atlet negara, menonton persembahan kebudayaan dan mereka yang mencari pekerjaan, boleh mengikuti temu duga terbuka.

Seramai 400,000 pengunjung dijangka mengunjungi ekspo yang berlangsung selama tujuh hari itu

Tag: