EKSPO TERENGGANU 2018 : Kaunter PDRM Terus Diserbu Pesalah Trafik

Orang ramai tidak melepaskan peluang membuat semakan dan pembayaran saman di kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dibuka pada hari pertama sehingga kini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim


Lebih 20,000 pengunjung menyerbu kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak dibuka pada hari pertama sehingga hari kelima untuk menyemak dan membayar setiap saman pada tawaran diskaun istimewa.

Tinjauan Teganukita mendapati orang ramai berpusu-pusu dan sanggup beratur panjang bagi menyemak dan membuat bayaran saman masing-masing seawal jam 10 pagi  sekali gus menyebabkan laluan pejalan kaki turut mengalami kesesakan.

Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu (IPK) berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung dan pesalah trafik terus mengunjungi booth berkenaan untuk menyelesaikan jumlah saman masing-masing sepanjang tempoh tawaran yang berakhir Sabtu ini.

"Kami buka tawaran  istimewa untuk orang awam membayar saman sehingga harga yang cukup rendah dan saya galakkan supaya orang ramai ambil peluang ini sebaik mungkin.

"Masa pembayaran ini akan dibuka sehingga pukul 10 malam," katanya ketika ditemui Teganukita hari ini.

Selain kaunter saman dan parkir PDRM, beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  turut membuka kaunter perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Azman Hassan, 45, dia mengambil kesempatan tersebut untuk membayar samannya yang berjumlah lebih RM30,000.Bagaimanapun selepas kemaskini, dia hanya perlu membayar lebih kurang RM15,000 sahaja.

"Terima kasih kepada PDRM kerana bagi tawaran diskaun istimewa ini dan juga tahniah kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd. Rahman atas kejayaan penganjuran ekspo ini untuk rakyat Terengganu," katanya.

Sehingga hari keempat, hampir 5,000 pengunjung sudah menjelaskan saman mengikut kadar masing-masing.


Tag: