EKSPO TERENGGANU 2018: Sedia Kaunter Pendaftaran Untuk Warga Emas

Kaunter saluran satu turut disediakan warga emas, OKU dan pelancong asing. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail


Kaunter pendaftaran cabutan yang disediakan kepada warga emas, di Ekspo Terengganu 2018, yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini memberi kemudahan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas untuk bersama-sama mencuba nasib.

Selain warga emas,  kaunter saluran satu itu turut boleh digunakan mereka yang dikategorikan Orang Kurang Upaya dan pelancong asing.

Wan Fatimah Omar, 82 dari Jertih berkata dia hanya perlu beratur 25 minit sahaja meskipun ribuan pengunjung datang untuk berdaftar.

“Sebaik sahaja kaunter dibuka kira-kira jam 2 petang tadi, saya dan suami, Yasa’ Muhammad, 71 dipanggil oleh penjaga untuk beratur di kaunter warga emas ini.

“Memandangkan saya terpaksa menggunakan kerusi roda ia akan menjadi sukar kepada saya dan suami sekiranya kaunter ini tidak disediakan,” katanya yang ditemani anakknya Wan Zakiah Yusof, 57.

Anaknya, Zakiah berkata mereka bertolak dari rumah kira-kira jam 9:30 pagi tadi.

“Ibu dan ayah memang teruja untuk bersama-sama mencuba nasib mengisi borang cabutan bertuah ini. Mana tahu rezski kami dapat mana-mana hadiah cabutan bertuah ini.

“Malah, saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan kemudahan seperti ini kepada warga emas, kalau tak mesti kami perlu beratur berjam-jam,”katanya.

Tag: