EKSPO TERENGGANU 2018 : Tuah Bawa Kereta Dapat Bawa Balik TV 45 Inci

Tuah menyebelahi Siti Rokiah yang menjadi pengunjung ke 400,000 mendaftar cabutan bertuah dan berjaya membawa pulang televisyen jenama Sharp 45 inci. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Tuah menyebelahi seorang wanita dari Kampung Bukit Parit, Marang apabila berjaya membawa pulang televisyen 45 inci selepas diumumkan sebagai pengunjung bertuah yang ke 400,000 pada hari keenam Ekspo Terengganu 2018, petang ini.

Wanita itu, Siti Rokiah Che Abdullah, 50, dan suami, Ariffin Embong, 52, pada mulanya mahu menaiki motosikal, bagaimanpun memikirkan keselamatan mereka ketika di jalan raya pada waktu malam, dia membatalkan hasrat itu dan menaiki kereta.


"Pada mulanya suami mencadangkan datang menaiki motosikal, tetapi saya menolak permintaannya kerana merbahaya menunggang malam-malam dan sanggup meredah kesesakan (menaiki kereta) untuk sampai ke sini.

"Tidak sangka pula keputusan bawa kereta petang ini, akhirnya dapat muat dan bawa pulang tv ini," katanya kepada sejurus menerima hadiah itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Induk Ekspo Terengganu 2018, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, di Khemah Utama di Ekspo Terengganu 2018 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, malam ini.

Siti Rokiah yang juga pengusaha kedai makan di kampungnya, berkata suaminya juga mencadangkan ke situ pada sebelah petang sebaik selesai solat Asar kerana lebih selesa meninjau persekitaran tapak ekspo sebelum pulang semula ke rumah dan tidak menduga rezekinya malam ini.

Menurutnya, ini pertama kali mereka mengunjungi ekspo berkenaan yang sudah hampir ke penghujungnya serta tergamam dimaklumkan oleh petugas dan Dato' (Tengku Putera Tengku Awang) yang dirinya muncul peserta bertuah antara ribuan yang mendaftar hari ini.







 





Tag: