EKSPO TERENGGANU 2018: Tutup Dua Jam Untuk Solat Jumaat

Tengku Putera menikmati hidangan bersama pengamal media


Ekspo Terengganu 2018, di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus  akan ditutup sementara waktu  bermula jam 12.00 tengah hari sehingga jam 2.00 petang  pada Jumaat ini untuk memberi ruang  umat Islam menunaikan Solat Jumaat.

Timbalan Pengerusi 2 Jawankuasa Induk ekspo itu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak umat Islam terutama golongan muda tidak menunaikan solat  dengan berlegar- legar di ruangan pameran.

Katanya, perkara itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa Induk  Ekspo Terengganu 2018.

“Dalam tempoh itu, mana-mana wanita atau isteri boleh berehat di kawasan pantai berdekatan sementara menunggu ekspo kembali dibuka pada jam 2.00 petang.   

“Pihak kami memaklumkan perkara ini kerana dibimbangi menjadi tular oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyatakan tetap beroperasi walaupun ketika umat Islam sedang menunaikan  Solat Jumaat,”katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media khas sempena Ekspo Terengganu 2018, di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, petang semalam.

Tengku Putera  turut memberitahu  hadiah utama akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada jam 10.00 malam pada hari terakhir ekspo bertempat di pentas RTM, di tapak ekspo berkenaan.

“Pendekatan itu bagi memberi peluang orang ramai terus mengunjungi ekspo sehingga saat akhir sebelum ditutup pada malam 3 Mac ini,” katanya

Hadiah utama bakal menanti pengunjung bertuah  berupa sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, satu lot tanah perumahan, satu lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Tag: