HULU TERENGGANU, 22 Julai – Ubat buasir yang diperbuat daripada air rebusan batang ubi gegeli kini menjadi tumpuan penduduk setempat di Kampung Dura, Hulu Terengganu.
Halimah Deraman, 66, seorang penduduk kampung, menerangkan kaedah tradisional yang digunakan untuk menyediakan ubat berkenaan.
Menurut Halimah, proses pembuatan ubat buasir itu dimulakan dengan memotong batang ubi gegeli, kemudian membersihkannya dari duri-duri menggunakan berus.
“Batang yang telah dibersihkan dihiris menjadi kepingan kecil dan dijemur sehingga kering. Setelah itu, kami meneruskan proses dengan merebus kepingan kecil tersebut.
"Biasanya, kami mengukur kematangan air rebusan itu dengan menggunakan tiga cawan air sehingga menjadi satu cawan air rebusan daripada kepingan batang ubi gegeli itu,” jelasnya.
Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di kediamannya bertempat di Kampung Dura, Hulu Terengganu pada hari ini.
Halimah berkata, setelah itu, air rebusan tersebut kemudian dimasukkan ke dalam plastik kecil untuk dijual. Harga bagi setiap plastik adalah sekitar RM20.
“Pelanggan kami kebiasaannya adalah penduduk Kampung dan juga orang luar yang mengetahui tentang keberkesanan ubat ini melalui kenalan rapat kami,” tambahnya.
Halimah juga menyatakan bahawa ubat buasir tersebut terbukti berkesan dan juga boleh digunakan untuk merawat penyakit gout.
“Keberkesanan ubat ini telah menarik perhatian ramai, menjadikannya produk yang popular dalam kalangan masyarakat setempat.
“Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan kepakaran masyarakat tempatan dalam menggunakan bahan-bahan tradisional, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan," katanya.
Menurut anaknya, Fadhilah Yusof, 44, batang geli sukar dijumpai, dan kebiasaannya hanya ditemui satu atau dua kali dalam setahun.
“Kami telah menjalankan kaedah ini sejak tiga tahun lepas. Setelah mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung, kami meneruskan pembuatan ubat buasir ini sehingga sekarang,” ujarnya.