• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Hubungan Erat Terengganu, PETRONAS Lonjak Aktiviti Pelancongan

MARANG, 21 Julai - Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS terus mengukuhkan hubungan dalam mempromosikan aktiviti pelancongan negeri Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, sokongan PETRONAS bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi juga melalui pelbagai program pembangunan komuniti.

"Antaranya pendidikan dan infrastruktur yang telah banyak membantu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu.

"Sebagai contoh, Program MEKAR yang dilaksanakan dalam menyokong usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40 dan telah diadakan di beberapa daerah seperti Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program 'Candak Sutong Sempena PETRONAS 50 Tahun' bertempat Jeti, Marang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliman Kassim dan Naib Presiden Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Nooruddin Liew.

Razali berkata bahawa program tersebut adalah simbol hubungan erat antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu serta komitmen bersama dalam mempromosikan budaya dan tradisi tempatan.

"Program ini bertujuan memperkenalkan kawasan perairan negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin yang menarik, terutamanya aktiviti mencandat sotong.

"Saya berharap agar kerjasama ini akan terus utuh dan membawa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, serta menyeru agar masyarakat tidak serik untuk datang mencandat sotong di Terengganu lagi," ujarnya.

Razali turut mengumumkan pertandingan mencipta lagu 'Tranung Dok Rilek' yang telah berlangsung dari 3 Julai hingga 11 Ogos 2024.

"Pertandingan ini diadakan untuk mencipta lagu tema bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan di Terengganu," katanya.

Beliau menyeru kepada masyarakat yang berbakat dalam bidang seni muzik untuk menyertai pertandingan ini dan menonjolkan kreativiti mereka. 

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat dan terma pertandingan, masyarakat boleh merujuk kepada media sosial Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu atau Beautiful Terengganu Malaysia.

 


Tag: