Impian Pengawal Keselamatan Diami Rumah Baharu Tercapai
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah pengawal keselamatan dari Kampung Kua, Ajil apabila hasrat untuk mendiami rumah yang lebih selesa, tertunai.
Impian Bakri Abdullah, 50, sekeluarga untuk memiliki kediaman baharu terlaksana selepas menerima bantuan rumah bernilai RM50,000 melalui Projek Baiti Jannati, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air.
Bakri ketika ditemui berkata, dia tidak mampu untuk membina rumah sendiri kerana hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Kua dengan pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan.
Menurutnya, dengan pendapatan kecil itu digunakan bagi menyara isteri, Haliza Abdullah, 45, seorang surirumah sepenuh masa dan perbelanjaan persekolahan empat orang anak mereka.
Katanya, dia tidak menyangka pihak TNB memilih mereka menerusi projek sosial itu sekali gus mengubah kehidupannya menjadi lebih baik dan tidak perlu lagi tinggal di rumah berusia hampir 20 tahun lalu yang makin uzur.
"Rumah lama saya dulu memang uzur dan masa saya beli dulu cuma RM2,000 sahaja namun kini kami sekeluarga boleh tinggal dengan selesa di rumah baharu serta dapat meraikan dua perayaan dalam suasana yang lebih ceria. Malah pada musim banjir pun tidak merisaukan saya kerana sebelum ni kami terpaksa pindah demi keselamatan berikutan keadaan rumah yang terlalu uzur.
"Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan kepada pengurusan TNB negeri kerana memberi rumah yang diimpikan untuk kami sekeluarga," katanya kepada pemberita selepas penyerahan kunci rumah pada hari ini .
Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Negeri Terengganu ini disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.
Sementara itu, Ghazali berkata, projek TNB mampu memberikan sinar baru kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menikmati hidup yang lebih ceria dan selesa bersama keluarga.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil mahu supaya projek seperti itu diteruskan pada masa akan datang demi kepentingan semua pihak terutama masyarakat luar bandar yang kurang berkempuan.
Sementara itu, Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir Bahagian Penjanaan, Mustafa Hashim berkata, TNB memilih Bakri sebagai penerima kerana dia layak dan hidup serba kekurangan.
Malah pemilihannya dicadang dan dipersetujui oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu(MAIDAM).
“Di Terengganu sahaja sebanyak RM350,000 diperuntukkan untuk membina tujuh buah rumah termasuk dua di Hulu Terengganu yang dijangka siap kesemuanya sebelum akhir tahun ini,” katanya lagi.
Menurut Mustafa lagi, sejak diperkenalkan pada 2008, projek Baiti Jannati berjaya membina lebih 40 rumah untuk penerima di seluruh Terengganu.
Baiti Jannati merupakan program tanggungjawab sosial TNB dengan menggunakan duit zakat badan korporat itu yang menjurus kepada kerja-kerja membaiki dan membina kediaman golongan sasaran antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin di luar bandar.