Kejohanan Berbasikal Terengganu Kembali Selepas 11 Tahun

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri akan menganjurkan kembali sukan berbasikal jelajah Terengganu melalui Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan jelajah Terengganu diadakan pada 20 hingga 25 Mac melibatkan lima pusingan di semua daerah bermula dari Kuala Terengganu dan berakhir di kemaman. 

Katanya, program tersebut adalah sebahagian daripada pengumuman Ucapan Belanjawan 2022 yang diumumkan Menteri Besar bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Kayuhan Basikal’. 

“Penjenamaan negeri berkaitan sukan berbasikal ini selari dengan salah satu teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030). 

“Program ini juga adalah sebahagian daripada pendekatan pelancongan sukan dalam usaha merancakkan kembali sektor ekonomi negeri serta rakyat,” tambah beliau dalam sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Wan Sukairi turut berkata, kos sebanyak RM650,000 diperuntukkan kerajaan bagi sesi penganjuran kejohanan kali ini. 

“Kejohanan ini akan diadakan secara dwitahunan (dua tahun sekali) namun tidak mustahil untuk diadakan sebanyak setahun sekali sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan,” ujarnya. 

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahya serta Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT), Mazlan Md Jalil.

Mengulas lanjut berkenaan kejohanan tersebut, penutupan jalan akan dialakukan di pusingan terakhir sekitar Drawbridge dan akan dimaklumkan oleh penganjur nanti.

Kejohanan ini melibatkan penyertaan 27 pasukan berbasikal dengan acara bawah 23 tahun dan terbuka, termasuk dua pasukan dari Singapura iaitu Singapore Cycling Federation dan Specialized Dynasty Mavericks. 

 


Tag: