Kes Buli Di Terengganu Menurun


Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) merekodkan 12 kes buli membabitkan pelajar sekolah di negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussain berkata, daripada jumlah kes yang direkodkan itu, 10 daripadanya berjaya diselesaikan menerusi rundingan dalaman antara keluarga pelajar yang terlibat.

Katanya, hanya dua kes buli yang agak serius dibawa keluarga pelajar untuk tindakan polis dan mahkamah untuk pembelaan.

“Secara dasarnya, kes buli di negeri ini menurun berbanding tahun lalu dan ia adalah perkembangan baik hasil daripada langkah proaktif diambil JPNT dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia serta ibu bapa dan masyarakat setempat dalam menangani kes buli membabitkan pelajar.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri JPNT, hari ini. 

Shafruddin berkata, bagi menangani kes buli, JPNT menjadi organisasi pertama di negara ini memperkenalkan peti aduan asrama yang diletakkan di semua 105 sekolah berasrama di negeri ini sejak 1 Januari lalu.

Katanya, pelajar yang menjadi mangsa buli atau sebarang unsur buli boleh menghantar surat di peti aduan tersebut yang akan diperiksa oleh polis secara berkala.

"Saya selalu mengingatkan pengetua dan guru besar agar tidak menyembunyikan perbuatan buli ini atas apa alasan sekali pun.

"Malah, apa sahaja aduan ibu bapa mengenai kes buli terhadap anak mereka sentiasa diberi perhatian walaupun aduan secara tidak rasmi melalui aplikasi Whatsapp atau Facebook," katanya. 

Katanya, setiap aduan itu akan dilakukan siasatan terperinci oleh Jawatankuasa Siasatan Aduan yang ditubuhkan JPNT agar pembuli dapat dikenakan hukuman setimpal. 

Tag: