• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

MB Terengganu Utus Ucapan Selamat Hari Sarawak

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan Terengganu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak 2024 pada hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam perutusan tahniah itu berkata, Sarawak telah mencapai kejayaan yang besar dalam pembangunan negeri dengan taraf kehidupan rakyat bertambah baik.

"Tarikh hari ini detik yang penuh bersejarah bagi negeri Sarawak, bahkan kepada negara kita sekiranya kita kenang kembali pengorbanan dan kejayaan anak jati Sarawak mengambil alih pemerintahan setelah pentadbiran negeri diserahkan oleh British pada tanggal 22 Julai 1963.

"Hari Sarawak juga memberikan peringatan betapa pentingnya perpaduan, kerjasama dan usaha gigih dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri Terengganu amat berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai oleh Sarawak.

"Terengganu komited untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan serta kerjasama antara kedua-dua negeri. 

"Buat seluruh rakyat Sarawak, tahniah diucapkan atas segala pencapaian dan kejayaan yang telah diraih.

"Kita percaya bahawa dengan semangat perpaduan dan muafakat, kita dapat mencapai lebih banyak kejayaan yang memberi manfaat kepada rakyat kita.

"Selamat Hari Sarawak 2024 khas kepada seluruh rakyat Sarawak, semoga Sarawak terus maju dan makmur," tambah beliau.


Tag: