Panel Penasihat Klinik, Bakal Jadi Rujukan Masyarakat Setempat
Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kuala Berang bakal menjadi penghubung erat antara Pusat Kesihatan dan masyarakat sekitar Kuala Berang.
Perhubungan dua hala itu sangat penting bagi menyalurkan maklumat kesihatan yang tepat kepada masyarakat dan peranan ini perlu diinstitusikan bagi kepentingan bersama.
Pengerusinya, Amran Ahmad berkata taraf kesihatan yang baik, segala objektif pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan fokus menjadikan daerah itu maju di masa akan datang dapat dicapai dengan jaya.
“Sekiranya mutu kesihatan dipandang remeh oleh masyarakat, negeri ini akan jauh ketinggalan kerana masyarakatnya tidak sihat,
"Bagi mengelakkannya, tanggungjawab diletakkan di bahu panel penasihat kesihatan sebagai penghubung Jabatan Kesihatan Negeri, Kerajaan Negeri dan juga masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Ramah Mesra Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kuala Berang Bersama Pengunjung Klinik di Kuala Berang hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Anwa Sulaiman, Pakar Perunding Perubatan Keluarga KK Kuala Berang, Dr Kamilah Mohamed bersama ahli-ahli panel penasihat KK Kuala Berang (wakil masyarakat & wakil klinik).
Kata Amran,program itu akan diadakan secara berterusan bagi mengeratkan silaturrahim antara ahli penasihat, pesakit dan anggota klinik.
"Antara aktiviti yang kita buat ialah adakan sesi beramah mesra bersama pengunjung dan mengagihkan minum pagi kepada pengunjung seawal pukul lapan pagi,
" Sesi ini juga membuka ruang kepada pengunjung klinik menyampaikan cadangan penambahbaikan dijalankan bagi meningkatkan kepuasan hati pelanggan terhadap perkhidmatan di klinik selain keselesaan pelanggan."katanya lagi.
Beliau berkata rata- rata pesakit dan pengunjung klinik memberikan reaksi positif program tersebut.
"Insha Allah,pihak kami akan teruskan program seperti ini sebagai rutin bulanan panel dalam usaha mendekatkan diri sebagai penghubung masyarakat yang terbaik di sini."ujarnya.