Pendapatan TDM Naik 10 Peratus Bagi Suku Ketiga Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - TDM Berhad mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 meningkat sebanyak 10 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Menurut satu kenyataan, kejayaan itu didorong oleh peningkatan pendapatan daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM13.4 juta dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM3.0 juta.

Sementara itu, Kumpulan mencatatkan Kerugian Sebelum Cukai ("LBT") sebanyak RM6.4 juta pada suku ini, berbanding Keuntungan Sebelum Cukai ("PBT") sebanyak RM17.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Katanya, EBITDA Kumpulan turut menurun sebanyak 58 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, dengan sumbangan peningkatan daripada Bahagian
Perladangan sebanyak RM27.6 juta dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM18.3 juta. 

"Kumpulan mencatatkan LBT sebanyak RM18.2 juta bagi tempoh tersebut, berbanding LBT sebanyak RM9.2 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. 

"Selain itu, EBITDA Kumpulan turut menurun sebanyak 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya," ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu, Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan terus menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak tiga peratus kepada RM92.1 juta bagi suku ini.

"Ia dipacu oleh peningkatan purata hasil per pesakit dalam sebanyak 8 peratus.

"Namun, jumlah pesakit dalam menurun sebanyak empat peratus, jumlah pesakit luar menurun sembilan peratus, dan kadar penggunaan katil menurun lima peratus berbanding suku sebelumnya," ujarnya.

Justeru itu, Kumpulan  mempertingkatkan program titik sentuh pelanggan untuk mencapai penjagaan pesakit yang 
cemerlang dan hasil berasaskan nilai.


 


Tag: