'Penyu Terdampar' Di Laman Sendiri

KUALA NERUS, 21 Ogos- Kedah Darul Aman FC berjaya membawa pulang tiga mata apabila menang 2-1 ke atas Terengganu Football Club (Terengganu FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, tuan rumah bermula tangkas merencanakan serangan dalam misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Makan Konate mula mengancam kubu lawan dengan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-4, namun dihentikan Mohd Ifwat Akmal dengan baik.

Pelawat bingkas bangkit, Rabih Ataya yang mendapat peluang pada minit ke-13 melakukan rembatan dari sisi kiri gawang, tetapi bola berjaya didakap kemas Mohd Suhaimi Husin.

Peluang terbaik Terengganu FC hadir pada minit ke-24 apabila hantaran lintang Azam Azmi menemui Faiz Nasir yang tidak dikawal, namun rembatannya melambung tinggi melepasi palang.

Dua minit kemudian, Faiz Nasir sekali lagi terlepas dari kawalan dalam kotak penalti, namun peluang 'one by one' hasil lorongan Faisal Halim itu gagal dijelmakan kepada gol.

Sekalipun skuad kendalian Nafuzi bermain baik, tetapi ketumpulan jentera mereka akhirnya dihukum KDA FC.

Pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, gerakan satu-dua Kpah Sherman dan Syazwan Zainon disudahkan dengan lorongan cantik kepada Rabih Ataya yang mudah merobek gawang tuan rumah.

Helang Merah mendahului satu gol sehingga tamat masa pertama.

Lima minit selepas babak kedua bermula, anak buah Aidil Shahrin Sahak sekali lagi mengejutkan Terengganu FC selepas gerakan cantik Tchetche Kipre dan Kpah disempurnakan dengan rembatan Syazwan Zainon untuk pelawat menjarakkan kedudukan dengan dua gol.

Sang Penyu menggandakan asakan dengan Da Silva lebih banyak melakukan rembatan dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-70, Da Silva yang dijatuhkan Mohd Loqman Hakim di luar kotak penalti, menyempurnakan sepakan bebas menerjah gawang lantas memecah kebuntuan gol tuan rumah.

Terengganu FC terus menyerang kubu KDA FC sehingga minit terakhir perlawanan, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan.

Terengganu FC kekal di kedudukan kedua liga dengan 37 mata.

 

 

 

 


Tag: