PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI YAB MENTERI BESAR TERENGGANU


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Alhamdulillah, bersyukur kita ucapkan kepada Allah Taala kerana diberikan kesempatan menjadi tetamu Allah Taala selama sebulan di bulan Ramadan. Satu bulan yang disediakan kepada kita untuk mentarbiah dan mendidik diri agar menjadi orang yang bertaqwa.

Hari raya pula ertinya kita menyambut kemenangan. Kemenangan melawan hawa nafsu dan meninggalkan larangan Allah Taala dalam bulan Ramadan. Semoga hari raya yang disambut ini, menjadikan kita lebih baik dari tahun sebelumnya.

Begitu juga yang kita harapkan kepada Negeri Terengganu. Setelah berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), kita mengharapkan negeri ini juga menjadi lebih baik dengan penambahbaikan untuk kesejahteraan kepada rakyat.

Marilah kita membuka lembaran baru membangunkan negeri Terengganu dengan membawa dasar yang mesra rakyat, politik yang melebarkan kasih sayang tanpa batasan warna kepartian, ekonomi yang mampan, dan kehidupan rakyat yang sejahtera.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, gunakanlah kesempatan ini untuk kita sebarkan keharmonian dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperteguhkan ukhuwah Islamiyyah di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik kepartian serta mengukuhkan keharmonian hubungan antara kaum. Meriahkan Aidilfitri dengan budaya kunjung mengunjung antara sanak saudara dan juga rakan-rakan.

Di samping kegembiraan menyambut hari raya, janganlah lupa kepada nasib umat Islam yang berada di luar negara. Mereka berada dalam keadaan yang kurang berkemampuan dan dalam konflik yang berpanjangan. Teruskan berdoa kepada rakyat Palestin, Syria, Rohingya dan seluruh dunia agar dipermudahkan urusan mereka dan diberikan pertolongan oleh Allah Taala.

Manakala, buat anak perantau yang akan pulang ke kampung halaman, semoga sampai dengan selamat ke destinasi yang dituju. Pandulah dengan berhati-hati dan banyakkan bersabar. Patuhi peraturan dan had laju yang telah ditetapkan dan saling hormati menghormati antara pengguna jalan raya.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat negeri Terengganu Darul Iman. Maaf Zahir dan Batin.

Dr Ahmad Samsuri Bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu

Tag: