Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) muncul juara TNB Liga Hoki Malaysia 2022 apabila bangkit menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, THT yang memiliki kelebihan laman sendiri dikejutkan gol awal TNB pada minit ke-11 perlawanan.
Gol Azril Misron itu diperolehi melalui pukulan sudut penalti dari Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang terbias melambung sebelum Azril melakukan 'tap' ke gawang yang terbuka.
The Turtle kemudian bangkit menerusi taktikal pukulan sudut penalti antara Faizal Saari dan Muhammad Arif Syafie Ishak yang disempurnakan oleh Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-30.
Perlawanan kekal 1-1 sehingga akhir suku ketiga perlawanan.
Memasuki suku keempat, THT tampil bertenaga dan berjaya meledak gol menerusi gerakan solo Faizal Saari pada minit ke-48.
Ketika kemenangan kelihatan seakan-akan berpihak kepada The Turtle, TNB menggandakan jaringan untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-54.
Bagaimanapun, sorakan penyokong Terengganu menggegar semangat pemain THT untuk terus mencari jaringan.
Berbaki tiga minit terakhir, THT mendapat pukulan sudut penalti yang berjaya disudahkan Faizal Saari untuk kemenangan pasukan pantai timur itu.
Kemenangan tersebut meletakkan THT di tangga teratas TNB Liga Hoki Malaysia 2022 dengan 32 mata sekaligus muncul juara berganda bagi musim ini.
Terdahulu, THT memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan lawan sama dengan skor 3-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Februari lalu.