UniSZA, Skuad Sukarelawan TTB Jalin Kerjasama Bagi Misi Kemanusiaan

Ahmad Razif menyempurnakan Majlis Perasmian Mahabbah IKIMFM @ UniSZA 2018: Untukmu Al Aqsa Dan Rohinya di Perkarangan Masjid UniSZA, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah 

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB) akan bekerjasama dengan lebih erat di masa hadapan untuk program berbentuk kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamaruddin Hussin berkata, sebuah kelab kemanusiaan iaitu UniSZA Society for Humanity (HUMANE) telah ditubuhkan baru-baru ini bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti sukarelawan.

Komitmen itu dizahirkan kedua-dua belah pihak selepas pelancaran kelab tersebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, sempena Majlis Perasmian Mahabbah IKIMFM @ UniSZA 2018: Untukmu Al Aqsa Dan Rohinya di Perkarangan Masjid UniSZA, hari ini.

Menurut beliau, melalui kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, ianya diharap dapat digerakkan secara lebih efektif serta berfokus dalam membantu mereka yang memerlukan memandangkan UniSZA mempunyai pakar dalam bidang-bidang tertentu termasuk perubatan.

UniSZA akan bergerak dan mulai sekarang sedang mengumpulkan dana, sukarelawan dan akan hantar sukarelawan kita dari semasa ke semasa termasuk dalam membantu etnik Islam Rohinya.

“Sebagai contoh, Kem Cox’s Bazar yang menempatkan pelarian Rohinya amat memerlukan kepakaran dalam bidang perubatan, dan UniSZA sudah ada pakar-pakarnya. Jadi, kita akan berkolaborasi dengan Skuad Sukarelawan TTB yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk jalankan misi-misi kemanusiaan selepas ini,” katanya.

Katanya, kelab yang bermatlamatkan untuk memperjuang dan membantu isu-isu berkaitan kemanusiaan dalam dan luar negara itu diharap dapat menggembleng sumber kakitangan dan pelajar universiti itu khususnya untuk bersama memupuk semangat kesediaan membantu sesama manusia tanpa batasan agama, bangsa dan negara.





Tag: