17 Individu Dilantik Mediator Komuniti, Jadi Pendamai Masyarakat di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Seramai 17 individu dilantik Ahli Mediator Komuniti (MK) dilantik oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu sebagai penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di peringkat akar umbi, selain sebagai pendamai masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata Mediator Komuniti bukan sahaja menjadi agen perpaduan tetapi juga tunjang utama dalam merealisasikan aspirasi negara.

“Tahniah kepada semua ahli Mediator Komuniti yang terdiri daripada pegawai jabatan dan komuniti khususnya di kalangan warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh daerah di Terengganu.

“Mereka merupakan petugas sukarelawan dan berfungsi sebagai perantara membantu dua pihak bertelingkah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama.

“Harapan saya agar mereka yang dilantik dapat memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dalam konteks penyelesaian isuisu yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sesi Libat Urus Mediator Komuniti Bersama Agensi (Mk Open Day) Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di KTCC  Mall di sini hari ini.

Menurut Maliaman, sesi libat urus yang dilaksanakan  merupakan medium yang penting bagi penyatuan komuniti pelbagai konflik bukan sahaja antara kaum malah antara pelbagai latar belakang idealogi dan taraf hidup.

“Dalam keadaan di mana isu atau konflik timbul antara masyarakat dan pihak kerajaan, mediator berfungsi sebagai penghubung yang neutral dan berintegriti untuk menjelaskan situasi, menyampaikan kebimbangan masyarakat, serta mencari jalan penyelesaian yang adil dan memuaskan semua pihak.

“Peranan ini adalah kritikal dalam memastikan kebajikan masyarakat terjaga tanpa mengorbankan kepentingan awam,”tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agensi kerajaan di Terengganu  agar dapat memberikan kerjasama dalam usaha  JPNIN  untuk mempromosikan lagi peranan mediator agar lebih ramai yang mengetahui peranan dan fungsi Mediator Komuniti itu sendiri


Tag: