600 Helai T-Shirt Percuma Untuk Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 DUN Bandar

Oleh : Haida Al-Ayyash

KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Sebanyak 600 helai t-shirt akan diberikan secara percuma kepada peserta program Geng Subuh Macam Jumaat 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang bakal diadakan di Masjid Abidin, esok. 

Pengarah Program Subuh Macam Jumaat 2.0, Syed Abdrahman Syed Hasan berkata, daripada jumlah itu, 100 helai dikhaskan untuk muslimah yang turut sama mengimarahkan masjid melalui program yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lalu.

Katanya, agihan t-shirt secara percuma itu akan diberikan sewaktu pendaftaran pada hari program yang bermula seawal 4.30 pagi dengan mengenakan konsep siapa cepat dia dapat.

"Program Subuh Macam Jumaat DUN Bandar 1.0 pada tahun lepas telah mencetuskan fenomena dengan limpahan jemaah menunaikan solat sehingga melepasi ke luar pagar Masjid Abidin dan juga jalan raya sekitarnya, maka program yang sama bakal diadakan juga tahun ini.

"Bagi tahun 2025, yang memasuki tahun ke-2 penganjurannya bakal tampil lebih istimewa kerana ianya selari dengan kempen yang dibawakan oleh Kerajaan Negeri, iaitu Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM) yang baharu sahaja dilancarkan awal Rejab baru-baru ini.

"Justeru, kita ambil tanggungjawab ini dengan menggerakkan kempen BPIM untuk tarik seramai mungkin warga Terengganu bersama dengan program kali ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Katanya, beliau optimis sekitar 3,000 jemaah akan hadir dalam kalangan muslimin dan muslimat termasuk kanak-kanak, remaja, belia sehingga di kalangan veteran.

"Ayuh semua anak muda kita bangkit pada hari cuti peristiwa 'Israk Mikraj' dengan berqiamullail, solat subuh berjemaah, santai kuliah Subuh dan 'funwalk' bersama-sama asatizah selebriti iaitu Ustaz Syed Norhisyam dan teristimewa bersama Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus", ujarnya.