600 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Zakat

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Seramai 600 keluarga asnaf menerima bantuan dalam Majlis Agihan Zakat Noor Arfa yang diadakan di NACC Batik Pavilion semalam.

Pengasas Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata program anjuran Noor Arfa Holdings Sdn Bhd ini merupakan inisiatif tahunan bagi menyampaikan sumbangan hasil keuntungan syarikat kepada golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan. "Sebanyak 100 keluarga hadir secara langsung ke majlis ini untuk menerima bantuan berupa beras dan sumbangan tunai.

"Manakala baki 500 penerima lain akan menerima sumbangan mereka melalui agihan di kawasan masing-masing dan sebanyak tujuh buah madrasah terpilih turut menerima sumbangan wang tunai bagi membantu keperluan para pelajar," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi yang hadir bersama isteri bagi menyempurnakan penyerahan bantuan kepada para penerima. 

Dr. Khalil berkata program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan asnaf, malah ia menggalakkan lebih ramai pihak termasuk individu, syarikat dan organisasi untuk turut serta dalam usaha kebajikan. 

"Saya menyokong penuh program ini dan saya berharap agar program sebegini diteruskan untuk tahun-tahun akan datang kerana pentingnya berkongsi rezeki terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini," ujarnya.


Tag: