• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Ahli Majlis Dungun Cadang Tubuh Jawatankuasa Pematuhan dan Pemantauan

DUNGUN, 30 Ogos - Ahli-ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak dalam menangani pelanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. 

Salah seorang daripada mereka, Naraza Muda berkata Mesyuarat Majlis Perbandaran Dungun yang bersidang kelmarin bersetuju membuat ketetapan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pematuhan dan Pemantauan bagi sebarang bentuk acara melibatkan hiburan.

Katanya, ia bertujuan memantau program sama ada di bawah kendalian agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat milik persendirian di dalam kawasan operasi pihak berkuasa tempatan.

"Ia bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan itu diutarakan ekoran berlakunya kontroversi penganjuran konsert kumpulan XPDC yang adakan sempena Ulang Tahun Pemahsyuran MPD Kali Ke-16 di Dewan Arena Merdeka di sini pada 24 Ogos lalu.

Menurutnya, jika ada ruang penubuhan jawatankuasa berkenaan, mereka yakin masalah tersebut tidak akan berulang. 

"Selepas ini setiap kali ada acara hiburan ianya dapat dipantau untuk memastikan semua garis panduan hiburan dapat dipatuhi. 

"Sekali gus mengawal daripada timbulnya sebarang gimik negatif atau kontroversi setiap kali acara hiburan dibuat. 

"Biasanya setiap kali karnival yang dianjurkan mendapat kelulusan PBT, namun kawalan atau pelanggaran syarat-syarat permit berlaku, kita mahu ianya berjalan sempurna tanpa memberi kesan negetif setiap kali program berlangsung," jelasnya lagi. 


Tag: