Hari Sungai Sedunia Tingkatkan Kesedaran Kepentingan Sumber Air

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Sambutan Hari Sungai Sedunia mampu meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kepentingan untuk menjaga dan memastikan kelestarian sungai serta menghargai sungai sebagai salah satu sumber khazanah negara.

Setiausaha kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata  Ia juga sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan orang ramai untuk menghargai dan memelihara sungai agar sentiasa bersih dan indah.

“Apa yang membimbangkan kita semua sekiranya berlaku pengurangan sumber air tawar yang bersih untuk kegunaan kita semua. Oleh itu, mari bersama kita menjaga dan memelihara sungai kita agar sentiasa bersih dan indah tanpa sebarang kemusnahan dan pencemaran. 

“Jangan sampai sudah tiada lagi sungai yang mengalir jernih dan bersih barulah kita hendak bertindak kerana pada masa itu segalanya sudah terlambat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di Kalang Warisan, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, ia juga  dilihat sebagai satu acara yang berkesan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap betapa penting dan bernilainya sungai untuk semua kehidupan termasuk pemain industri yang semakin berkembang pesat mengenai keperluan menjaga kelestarian sungai dan alam sekitar.


Tag: