Hayati Erti Merdeka Sebenar, Jangan Sebar Berita Palsu

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Seluruh rakyat digesa agar memahami erti kemerdekaan yang sebenar dan menjauhkan diri dari anasir yang boleh merugikan negara seperti menularkan berita palsu di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sejarah yang lalu telah membuktikan bahawa pejuang kemerdekaan boleh tewas apabila terdapat sekumpulan pemfitnah dan tali barut yang dalam diam menjadi musuh negara.

"Hari ini sebuah negara boleh jadi porak peranda kerana seorang pembawa berita palsu dan pengadu domba di media sosial yang luas dan cepat capaiannya.

"Di era globalisasi yang bertunjangkan 'the internet of things' menjadikan senario dan cabaran pemupukan semangat jiwa merdeka jauh berbeza dibandingkan dahulu.

"Trend penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi telah menjadikannya satu keperluan, namun kepantasan maklumat yang disampaikan tidak menjamin kesahihannya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam. 

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeru, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua-Ketua Jabatan.

Mengulas lebih lanjut, Ariffin berkata berhadapan dunia hari ini sukar untuk menbendung ledakan maklumat. 

"Tetapi kita mampu mengawal dan menapis kesahihannya menerusi daya saring yang jitu dengan memiliki kemahiran  penaakulan yang boleh membezakan baik buruk sesuatu perkara.

"Sebagai bangsa yang merdeka seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk manipulasi maklumat.

"Dengan menularkan berita palsu dan fitnah, serta tidak menjadi pembuli yang boleh merosakkan minda dan pemikiran orang lain," ujarnya.

Dalam pada itu, sambutan Ambang Merdeka itu telah turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api yang diiringi nyanyian lagu tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang tepat pada jam 12 malam. 

Sebelumnya, majlis telah dimeriahkan dengan Upacara Perarakan Masuk anggota rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTLDM). 

Terdahulu, majlis telah diserikan dengan forum keagamaan sempena Merdeka dengan menampilkan murabbi sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus. 

Turut memeriahkan acara ialah nyanyian lagu patriotik yang dipersembahkan oleh artis ternama tanah air iaitu Aris Ariwatan, Azmi Caliph Buskers dan Najib Hamzah.

 


Tag: