Empat Daerah Kembali Dilanda Banjir, Besut Catat Mangsa Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Sebanyak 4,300 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 10 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 65 syarikat dari pelbagai sektor dan industri pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 negeri Terengganu yang sedang berlangsung di KTCC Mall hari ini dan esok.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, program itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negeri di samping menarik kehadiran pengunjung khususnya golongan suri rumah dan wanita serta badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana dalam tempoh tiga jam sahaja, karnival tersebut telah dikunjungi lebih 700 pengunjung untuk sesi pagi hingga tengahari.
"Daripada jumlah itu, 73 pengunjung telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan mereka manakala 268 pengunjung lagi layak untuk menghadiri temuduga yang seterusnya.
"Kerajaan negeri optimis lebih ramai pengunjung yang akan memiliki pekerjaan yang mereka idamkan selama karnival ini berlangsung hingga petang esok," katanya kepada pemberita selepas melakukan sesi walkabout di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kekosongan jawatan terbesar yang ditawarkan ialah dalam sektor pembuatan iaitu 762 kekosongan, pentadbiran awam dan pertahanan (700), pengangkutan dan penyimpanan (500), perdagangan borong dan runcit (419) serta kewangan, insurans dan takaful (310).
"Antara majikan yang terlibat Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Sogo (K.L) Department Store, KTCC Mall, Puspakom Sdn Bhd, Malaysia Rail Link, Agro Bank dan banyak lagi.
"Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma akan turut diadakan sepanjang karnival antaranya penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya," katanya.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai terutama golongan belia merebut peluang yang disediakan bagi mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor dalam dan luar Terengganu.