• 05 Jul 2024 | 28 Zulhijah 1445

Kepentingan Rakyat Setiu Dibawa ke Kamar Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Sesi Kamar Khas pada sidang parlimen telah dimanfaatkan oleh Ahli Parlimen Setiu untuk membawa isu-isu setempat di Setiu kepada pihak yang berwajib. 

Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek pemuliharaan muara Sungai Setiu akan memberi impak yang besar kepada masyarakat namun begitu beberapa perkara perlu dilihat dan dikaji semula oleh pihak Kementerian.

"Pengerukan di sungai tidak sampai ke lokasi zon akuakultur. Ketika ini, penternakan ini diusahakan oleh 70 orang pengusaha. Setiap tahun pengusaha-pengusaha ini mengalami kerugian kerana kematian ikan sangkar.

"Kematian ikan akibat kekurangan oksigen ekoran masalah air yang tidak mengalir. Ini berpunca daripada beting pasir yang menghalang laluan air pasang dan kawasan ternakan menjadi semakin cetek.

"Bagi mengatasi masalah ini saya mencadangkan agar kawasan zon akuakultur dan beting-beting pasir yang berhampiran dibuat pengerukan juga," katanya dalam kamar khas Sidang Parlimen hari ini.

Tambah beliau lagi, mengikut skop projek, kerja-kerja pengerukan juga akan dilaksanakan di sebelah utara struktur benteng pemecah ombak.

Katanya, kawasan itu mengalami masalah air cetek yang serius dan menyukarkan laluan pelayaran nelayan daripada Kampung Fikri, Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Beting Lintang. 

"Walaupun masalah ini juga berlaku di sebelah selatan struktur benteng pemecah ombak, tetapi ia tidak terlalu serius berbanding dengan kawasan di sebelah utara. Saya mencadangkan agar kerja-kerja pengerukan sungai diberi keutamaan di laluan pelayaran,” jelasnya.

Seterusnya, beliau juga mengatakan terdapat kerja-kerja ‘beach nourishment’ di bawah skop projek ini sepanjang 3 kilometer di sebelah utara struktur benteng pemecah ombak berkenaan dan mengikut ringkasan harga tender itu melibatkan kos sebanyak RM33 juta. 

"Saya mendapat maklumat ia hanya bertahan selama 5 tahun dan pada setiap 5 tahun kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi mengelak kerosakan yang lebih besar. Malah kos ini akan bertambah mengikut peredaran masa.
"Saya juga mengharapkan pihak Kementerian sentiasa membuat pemantauan terhadap kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh pemaju dilantik.

"Ini disebabkan saya mendapat aduan daripada penternak ikan sangkar dan kolam udang yang mengatakan bahawa kawasan-kawasan ternakan mereka telah dimasuki  air yang keruh dan berkeladak akibat pengerukan yang telah dibuat," tambah beliau.


Tag: