Ketauhidan: Kunci Kebahagiaan Sejati Menurut Perspektif Islam

KUALA TERENGGANU, 6 September - Dalam kehidupan moden yang semakin mencabar, ramai mencari kebahagiaan melalui harta benda, kemewahan dan kesenangan duniawi namun, dalam perspektif Islam, kebahagiaan sejati tidak terletak pada aspek-aspek material ini.

Sebaliknya kata penceramah Selebriti, Ustaz Harryanto Rizal Rokman, kebahagiaan yang hakiki datang dari ketauhidan, iaitu keimanan dan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Kebahagiaan bukan terletak pada rumah mewah, kenderaan boleh dibeli atau dijual, bunga yang boleh dihidu harumnya, gandum yang boleh ditumbuk dan juga pada kain yang boleh dibentangkan.

“Sebaliknya, kebahagiaan adalah sesuatu yang tidak menyibukkan, namun membawa kehidupan sangat sederhana,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Keluarga bertajuk Keluarga Bahagia Negeri Sejahtera di Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.

Menurutnya, bahagia adalah ketenangan hati yang hadir kerana kebenaran dijalani dan kebahagiaan adalah kelapangan dada kerana prinsip diyakini. 

Tambah beliau lagi, kebahagiaan tertinggi adalah ketauhidan, yakni apabila seseorang mentauhidkan Allah dan ketika beriman kepada Allah, itulah puncak kebahagiaan.

“Kebahagiaan dilihat dari pelbagai sudut, tetapi hakikatnya adalah apabila kita mampu menenangkan jiwa dengan agama ini. 

“Apabila kehidupan dipandu dengan asas-asas agama, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 131, bahawa kebahagiaan bukanlah apa yang kita lihat dinikmati oleh mereka yang tidak beriman. 

“Kebahagiaan bukanlah apa yang dirasakan oleh mereka yang ingkar terhadap perintah Allah SWT," ujarnya.

Justeru itu, beliau berkata, kebahagiaan sejati adalah apabila meletakkan kehidupan dalam kerangka syariat Allah SWT.


Tag: