MARANG, 1 Julai – Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengubah landskap pendapatan negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum yang sebelum ini meliputi hampir 90 peratus perbelanjaan negeri kepada pendapatan yang lebih pelbagai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata langkah itu diambil bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan ekonomi setempat dalam jangka panjang.
Menurutnya, transformasi tersebut adalah penting bagi mengurangkan risiko ekonomi negeri yang terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan.
“Kita sedang melihat untuk mengurangkan kebergantungan yang ketara pada royalti minyak. Sekarang ini, kita sedang mempelbagaikan sumber pendapatan melalui pelbagai inisiatif.
“Inisiatif tersebut seperti pembangunan ekonomi tempatan, pengutipan cukai yang lebih optimum, serta penambahbaikan dalam pengurusan perbelanjaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Lawatan Kerja Exco Pelancongan ke Pulau Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini kelmarin.
Tambah Razali, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan langkah-langkah strategik untuk memaksimumkan pendapatan dari sektor-sektor baru.
“Ia seperti renewable energy, Unsur Nadir Bumi (REE) dan pelaburan dalam infrastruktur yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi setempat.
“Ini dijangka dapat membantu mengimbangi pengurangan pendapatan daripada royalti minyak yang semakin berkurangan," katanya
Beliau menegaskan bahawa pendekatan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan pendapatan negeri lebih stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
“Langkah-langkah ini turut mendapat sokongan daripada komuniti perniagaan tempatan yang melihatnya sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan landskap ekonomi setempat.
“Kami berharap dengan diversifikasi pendapatan ini, Terengganu akan lebih bersedia dan mampu untuk menghadapi cabaran ekonomi pada masa hadapan," ujarnya.