'Lebih RM1 Bilion Royalti Minyak Terengganu Belum Dibayar' – MB

MARANG, 29 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan lebih RM1 bilion bayaran royalti petroleum Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang jawapan jelas mengenai penangguhan bayaran milik rakyat itu.

Menurutnya, jumlah yang akan terus dituntut berkenaan termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dibayar kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan bayaran untuk tahun ini.

“Masih lagi banyak bakinya (royalti), kalau tak silap, saya rasa campur dengan tahun ini, lebih RM1 bilion.

“Buat masa ini, kerajaan negeri diminta untuk mengemukakan tuntutan berdasarkan kepada program dan juga keperluan kewangan dari masa ke semasa, ‘claim’ (tuntutan) baharu akan dipertimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media pada progran Temasya Sukan DAR Terengganu bertempat di Maecon Sport Centre, Kelulut, Marang di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, pihaknya ada bertemu dengan persekutuan dalam mesyuarat-mesyuarat namun tiada perbincangan yang khusus mengenai royalti.

“Tapi saya telah menyuarakan kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan tentang keperluan semasa yang berlaku setiap bulan.

 “Apa yang berlaku ialah pertimbangan keperluan kewangan akan dibuat oleh pihak Kementerian Kewangan setiap bulan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekeliruan kerajaan negeri mengenai alasan penangguhan tersebut.

“Bagi kerajaan negeri, kami tidak faham sebenarnya apa alasannya. Itulah keadaan sekarang ini.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memenuhi keperluan yang diminta oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan royalti minyak tersebut dapat disalurkan kepada negeri Terengganu,” ujarnya.

Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.

 

 

 

 

 

 


Tag: