'Mini Carnival World Lupus Day' Dijangka Tarik Lebih 500 Peserta

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Dijangka seramai lebih 500 peserta akan menyertai program 'Mini Carnival World Lupus Day' yang dijadualkan berlangsung di Kampung Budaya Terengganu (KBT) Kompleks Muzium Negeri pada 18 Mei, Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata peserta tersebut terdiri daripada pesakit dan keluarga mereka, doktor, jururawat dan juga orang awam.

Katanya, program itu merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan SLE Malaysia Kumpulan Sokongan Terengganu.

“Ini merupakan satu program yang cukup bermakna bagi Jabatan Pelancongan Negeri kerana ia menunjukkan bahawa semua golongan boleh terlibat dalam aktiviti pelancongan, tidak kira latar belakang atau kedudukan mereka.

“Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) di kalangan orang ramai, serta memastikan bahawa golongan ini tidak terpinggir dan dapat bersama-sama dengan masyarakat lain dalam aktiviti seharian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program 'Mini Carnival World Lupus Day' bertempat di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, Pengerusi Persatuan SLE Malaysia Kumpulan Sokongan Terengganu, Rohafiza Abdullah dan Penasihat Persatuannya, Dr Siti Mariam Ab Rahim.

Tambah Ridzwan, penyakit tersebut tidak memudaratkan orang lain, oleh itu, penting untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penyakit SLE. 

Seiring dengan itu, dalam masyarakat kita, adalah lumrah untuk timbul pelbagai andaian apabila tidak pernah dengar tentang sesuatu penyakit.

Tambahnya lagi, persepsi mereka boleh diperbetulkan melalui program yang akan dilaksanakan pada Sabtu ini.

“Kami mengucapkan terima kasih atas pemilihan Kampung Budaya sebagai lokasi untuk program ini yang merupakan 'healthy tourism' dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang bermula dari awal pagi sehingga 2 petang.

“Keterlibatan Kampung Budaya Terengganu sebagai lokasi untuk program ini dapat membantu mempromosikan pusat tersebut sebagai warisan seni dan budaya untuk negeri ini," jelasnya.

Jelasnya lagi, kawasan tersebut juga menjadi lokasi penempatan beberapa produk pelancongan negeri Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Program, Rohafiza Abdullah, menyatakan bahawa antara acara menarik yang akan dihadiri peserta termasuklah pertandingan explorace, aktiviti mewarna batik, dan pelbagai lagi. 

“Pengisian tersebut memberi tumpuan kepada pengetahuan berkaitan penyakit SLE, sementara pertandingan explorace yang dianjurkan juga memberikan pemahaman tentang penyakit tersebut.

"Pada hari program, semua peserta berpeluang untuk bertemu dengan doktor pakar secara langsung untuk bertanya mengenai penyakit tersebut, termasuk kesannya jika tidak dirawat, panduan rawatan, dan lain-lain," ujarnya.

 

 


Tag: