34 PPS Diaktifkan Di Hulu Terengganu, Tempatkan 2,155 Mangsa
KUALA NERUS, 21 Mei – Pengorbanan ibu bapa yang tiada hentinya dalam menabung telah membawa kepada penunaian impian tiga anak mereka untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Rezeki terpilih untuk menunaikan haji itu tidak disangka oleh tiga beradik yang berasal dari Gong Badak apabila dapat bersama melaksanakan rukun Islam yang kelima.
Menurut Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee, 32, dia amat bersyukur di atas usaha yang dilakukan oleh ibu bapanya yang mendaftar sejak 2008 membuka peluang untuk menunaikan haji pada usia muda.
Bercerita lanjut katanya, setiap bulan ibu dan bapanya yang bekerja sebagai guru menyimpan antara RM100 hingga RM200 untuk setiap anak.
“Mak ayah saya simpan setiap bulan lebih kurang RM100 lebih setiap seorang sehingga kami dapat melakukan haji pada usia muda ini.
“Duit raya yang dapat juga disimpan dalam tabung haji. Jadi pengorbanan mak dari daftar sampai hari ini, kami bersyukur mak simpan, bukan hanya seorang, tetapi empat beradik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam kelmarin.
Haqimi berkata, walaupun harapan kedua orang tuanya untuk menghantar empat beradik ke tanah suci bersama tidak tercapai tetapi sekurang-kurangnya tiga sudah dimakbulkan.
Haqimi bersama adiknya, Muhammad Nazirul Hazimi Zulkeflee dan Muhammad Nazirul Fatihi Zulkeflee antara 139 jemaah haji kumpulan ketujuh yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bertolak ke Madinah pada jam 4 pagi semalam.
Tahun ini, Tabung Haji mengurus seramai 31,600 orang jemaah haji dengan menggunakan 100 penerbangan sewa khas terus ke Tanah Suci.