• 16 Sept 2024 | 12 Rabiul Awal 1446

Pendapatan Syarikat SG4 Tidak Kacau Perolehan Hasil Negeri

KUALA TERENGGANU, 6 September - Hasil pendapatan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu atau SG4 tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group).

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendapatan yang diperoleh di negeri-negeri itu adalah berbeza dengan hasil syarikat tersebut kerana ia bukan melibatkan perolehan hasil negeri masing-masing.

Justeru itu, pembahagian hasil sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat itu yang diputuskan sebelum ini tidak membabitkan perolehan negeri masing-masing.

“Itu (25 peratus) pembahagian dari segi untung syarikat bukan hasil negeri. Hasil negeri tertakluk kepada negeri masing-masing, hasil di Terengganu, Terengganu la yang akan nikmatinya. 

“Hasil negeri tidak digabungkan. Kena bezakan operasi syarikat dengan operasi apa yang diterima oleh negeri.Ia berbeza, saya rasa ramai orang keliru dengan bayangkan kita bahagikan hasil di Kedah dibahagikan dengan negeri lain, operasi syarikat adalah perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Pelepasan Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu  di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ahmad Samsuri berkata SG4 Group juga  bukan menekankan kepada keuntungan sebaliknya ‘consolidation of bargaining power’ di antara negeri terlibat dalam menjalankan urusan. 

“Contohnya REE mengikut data Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia adalah sebanyak 70 peratus. Jadi, ‘consolidation of bargaining' itu yang diperlukan dalam kita membuat apa-apa pertimbangan,” katanya.

Beliau ketika menjawab sesetengah pihak yang mempersoalkan kedudukan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) sekiranya satu atau dua kerajaan negeri Perikatan Nasional itu bertukar tangan berkata masa masih panjang lagi untuk menunggu pilihanraya yang seterusnya.

“Cerita (pilihan raya) itu cerita panjang lagi sebab kita ada tempoh dua tahun setengah hingga tiga  tahun lagi untuk membuktikan potensi, cerita pilihan raya itu kita tengok selepas pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, empat negeri yang ditadbir Pakatan Nasional iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil yang diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.

Syarikat berkenaan yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd, akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.


 


Tag: