Penggiat E-sports Sambut Baik Belanjawan 2021

KUALA TERENGGANU, 24 November - Pendukung e-sports di Terengganu menyambut baik Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Presiden E-sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani berkata, secara asasnya kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet yang cukup besar bagi menggerakan badan bukan kerajaan (NGO), industri sukan dan belia.

“Ini sudah jelas menggambarkan keprihatinan dan kesediaan kerajaan untuk terus mendengar serta menyantuni semua golongan terutamanya anak muda.

“Mewakili E-sports Terengganu, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha ini,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan 2021 juga banyak memberi fokus kepada golongan belia bagi meningkatkan keupayaan mereka khususnya mendapatkan pekerjaan dan sumber pendapatan serta kemahiran yang lebih baik.

“Belanjawan 2021 banyak memfokus untuk golongan belia dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan insentif, oleh itu kita harap belia merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan untuk mereka,” tambah beliau.


Tag: