Perantau Rakan Strategik Majukan Terengganu


KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Kombinasi idea dan usaha rakyat Terengganu yang tinggal di dalam mahupun luar negeri untuk memajukan negeri itu akan dapat merealisasikan gagasan Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pendakwah selebriti, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang berkata, kemajuan yang berbentuk material dan seiring dengan 'ubudiyah' (kehambaan) kepada Allah SWT akan membina sebuah tamadun.

“Jadi asas manusia dahulu (maju), manusia  membina ketamadunan lalu dengan binaan bangunan dan infrastruktur, dimajukan ekonomi namun berjalan seiring dengan pembinaan modal insan di atas sifat ubudiyah.

“Maknanya bila kita hamba kita akan terikat dengan peraturan Allah dalam membina kemajuan. Maju tapi kita tak nak terlibat dengan riba.

“Nak maju kita nak tarik pelancong mari (datang ke Terengganu), dalam masa yang sama imej dan identiti kita sendiri akan  menarik pelancong,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Guane Gamok Perantau Selebriti di Tv Darul Iman hari ini.

Oleh itu, beliau menyeru anak-anak Terengganu di perantauan agar berpakat menyumbangkan tenaga dan buah fikiran kepada kerajaan negeri.

“Orang Terengganu yang duduk luar mungkin ada sedikit pengalaman pakat bantu rakyat yang tinggal di dalam negeri dan yang duduk di Terengganu lebih faham keadaan dan masalah dalam negeri.

“Jadi bila ada kombinasi kedua-dua ini, ia sangat baik dengan syarat kita buka minda kita untuk terima idea serta ruang pembaharuan supaya dimanfaatkan untuk Islam,” jelas beliau.

Dalam pada itu, selaku anak Terengganu yang sudah 15 tahun tinggal di Lembah Klang beliau berpesan agar para perantau tidak pulang dengan sia-sia.


“Kita ada idea nak persembahkan kepada pelaksana di Terengganu, mungkin  tidak semua idea kita sesuai dan boleh diguna pakai.

“Jangan ada perantau yang balik untuk tunjuk hero, kita seimbangkan, gabung jalinkan dan harmonikan supaya memberi manfaat dan membawa kesejahteraan,” tambahnya.








Tag: