Perhilitan Terengganu Giat Kesan Gajah Liar di Kampung Basung

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri Terengganu membuat pemantauan secara berterusan bagi mengesan gajah liar yang menyebabkan kematian seorang warga emas, di Kampung Basung, baru-baru ini.

Pengarahnya Loo Kean Seong (he) berkata ia susulan penemuan mayat, Musa Ahmad, 65, yang disahkan polis sebagai berpunca akibat diserang sekumpulan gajah liar.

Katanya, pemantauan pihak Perhilitan di kampung tersebut bermula sejak minggu lepas setelah menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di situ. 

"Sebenarnya Perhilitan Hulu Terengganu turut terlibat dalam pencarian Musa kerana kawasan itu memang kawasan yang memang ada gajah. Tapi, masa itu belum disahkan lagi akibat serangan gajah. 

"Walau bagaimanapun, selepas 'confirm' mangsa meninggal dunia akibat diserang haiwan tersebut, maka kita teruskan operasi pemantauan sebelum ambil tindakan sama ada untuk tembak halau atau tangkap pindah sekiranya berjaya mengesan gajah tersebut," katanya kepada pemberita.

Beliau turut menasihatkan penduduk sekiranya berdepan dengan haiwan berkenaan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah  segera menjauhkan diri dan jangan melakukan sebarang provokasi.

“Segera laporkan lokasi penemuan gajah berkenaan kerana ia akan memudahkan Perhilitan menganggarkan keberadaan haiwan tersebut bagi tindakan selanjutnya. 

"Orang ramai juga dinasihatkan jangan masuk ke kebun secara sendirian. Selain itu, jangan biarkan kebun anda semak dan terbiar kerana haiwan liar akan mudah untuk menyorok dalam semak-samun lalu menyukarkan kita untuk mengetahui kewujudan mereka berdekatan kita," katanya. 

Dalam masa sama, Loo berkata pihaknya telah berjumpa dengan waris Musa dan memaklumkan mengenai Tabung Mangsa Serangan Binatang Buas bagi meringankan beban mereka sekeluarga. 

"Memang kita bersedih atas kehilangan ini tapi sekurang-kurangnya ada bantuan dari kerajaan yang boleh diberikan kepada mereka. Waris diminta untuk berhubung dengan Perhilitan Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya. 


Tag: