Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
‘Pesta Dangdut’ : Hotel Tanjung Vista Mohon Maaf
KUALA TERENGGANU, 4 April - Pihak pengurusan Hotel Tanjong Vista tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung penganjuran ‘pesta dangdut’ pihak persendirian yang menampilkan seorang penyanyi berpakaian seksi di hotel terbabit pada 25 Mac lalu.
Pengurus Besar Hotel Tanjong Vista, Lily Julia Hassan Tan yang mewakili pengurusan hotel berkata majlis itu bukan anjuran pihaknya sebaliknya pihak lain dengan kehadiran 120 jemputan.
“Kami hanya menerima tempahan makan malam seperti biasa sahaja, maklumat penuh program kami tak terima daripada penganjur.
“Pihak hotel hanya dimaklumkan tempahan untuk makan malam sahaja, segala urusan tempahan pun tidak ada langsung menyentuh pasal tarian dan sebagainya, ini kali pertama mereka buat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan isu tersebut di Hotel Tanjong Vista di sini semalam.
Terdahulu, kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak polis untuk membuat siasatan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran tersebut amat dikesali dan pihaknya telah meminta pengurusan hotel untuk lebih teliti dalam menerima sebarang tempahan terutama berkait hiburan.