KUALA NERUS, 27 Mei – Seramai 50 bekas penagih berjaya mendapatkan peluang pekerjaan melalui program seminar kerjaya Hari Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diadakan setiap tahun bermula 2022.
Program tersebut merupakan inisiatif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif THRDC, Aminuddin Omar, menyatakan bahawa program itu dirangka khusus untuk membantu golongan rentan, terutamanya bekas klien AADK, dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai dan membolehkan mereka memulakan hidup baru.
“Hari ini, kita telah mendatangkan lima majikan dari luar Negeri Terengganu yang bersedia untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka.
"Seramai 103 klien AADK hadir pada majlis perasmian seminar berkenaan dan menjalani sesi temuduga. Kejayaan ini bukanlah kali pertama dicapai oleh AADK Negeri Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Seminar Kerjaya Sempena Hari TVET Negara 2024 bertempat di THRDC, Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, program tersebut dilaksanakan di Pusat Cari Kerja Negeri Terengganu, sebuah pusat yang ditubuhkan untuk membantu penduduk negeri itu dalam pencarian pekerjaan.
“Inisiatif yang dilaksanakan ini amat penting bagi golongan bekas klien AADK kerana golongan tersebut mudah terdedah dan mereka memerlukan bantuan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
"Program ini juga mendapat sokongan daripada platform My Future Job, portal pekerjaan peringkat kebangsaan yang memadankan pencari kerja dengan majikan," ujarnya.
Aminuddin berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi membantu lebih ramai golongan rentan di Negeri Terengganu mendapatkan pekerjaan dan menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Sebelum ini, program serupa telah diadakan di daerah Kuala Terengganu dan Besut yang mana 50 peserta berjaya mendapat pekerjaan.
"Pusat Cari Kerja Terengganu yang berada di hadapan lapangan terbang diharapkan menjadi tumpuan para belia dalam usaha mencari pekerjaan," ujarnya.