Kuasa wanita menjadi penentu utama memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Yang Dipertua Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To' Puan Seri Halina Zakaria berkata, wanita adalah aset dan senjata utama dalam memastikan kemenangan besar BN pada PRU14 kerana majoriti pengundi adalah kaum hawa.
"Wanita juga merupakan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan BN dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Pusat dan beberapa negeri diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Ini selaras dengan tahun memperkasakan wanita apabila Perdana Menteri sendiri telah mengangkat martabat wanita setinggi-tingginya dalam pelbagai aspek.
"Saya sendiri telah melihat kekuatan wanita ini melalui program-program yang telah dilaksanakan apabila mereka menjadi nadi di setiap majlis dan hadir tanpa alasan, setia dan sanggup berkorban," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita di Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi Terengganu 2018 di Dewan Al-Bukhari Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Manir, hari ini.
Turut hadir calon N22 DUN Manir, Yusof Awang Hitam dan Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Ramlah Idris.
Seramai 690 orang ibu tunggal yang berdaftar menerima bantuan wang tunai RM200 serta barangan keperluan dapur bernilai RM100 kepada setiap
Sementara itu seorang penerima, Rohani Abd Manan, 49, ibu kepada tiga orang anak yang berusia 21 hingga 25 berkata, bantuan yang diterima memberi seribu rahmat kepadanya sebagai ibu tunggal sejak 20 tahun lalu.
"Walaupun bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan tetapi bantuan yang diberikan pada hari ini meringankan beban harian lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Terima kasih kepada kerajaan BN yang sememangnya cakna kepada rakyat terutama golongan ibu tunggal yang sememangnya memerlukan perhatian daripada pemimpin...bukti pilihan kami adalah tepat sejak dulu kini dan selamanya," katanya.