DUNGUN, 7 Disember - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah berjaya membangunkan Mini E-Car yang direkacipta oleh pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal  di bawah seliaan Ts. Muhd Hasanul Isyraf  Mat Junoh.  

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, sekumpulan empat orang pelajar iaitu Ahmad Khairun Syazwan  Mat Khari, Muhammad Akmal Danial  Nasrudin, Muhammad Fakhrul Hadi  Hamidi dan Muhammad Farieddin  Anuar telah mengambil masa satu tahun untuk menjalankan kajian dan membangunkan projek tersebut. 

"Mini E-Car merupakan kenderaan elektrik berkonsepkan 'green mobility' yang mesra alam dengan mengaplikasi teknologi hijau yang tidak menggunakan petrol dan sekaligus akan mengurangkan pencemaran alam sekitar," terangnya  dalam satu kenyataan Media yang dihantar hari ini. 

Mini E-Car antara 40 buah projek yang dipertandingkan dalam Student’s Project Competition Innovation and Invention Design (SPEED) Sesi 1 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Dagang PSMZA pada 6 Disember.

Dalam pertandingan tersebut Mini E-Car telah menggondol Anugerah (Industrial Revolution(IR 4.0). 

Katanya lagi, kereta elektrik seumpama Mini E-Car yang boleh mencapai kelajuan 30 km sejam itu amat sesuai untuk dipandu di kawasan taman perumahan, kenderaan dalam bandar, di ladang pertanian mahupun sebagai kenderaan pelancong di tempat-tempat pelancongan contohnya di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu. 

Sementara, Penyelia Projek, Ts. Muhd Hasanul yang juga Pengurus Automotive Technology Centre (ATec) menjelaskan Mini E-Car itu merupakan kereta konsep atau prototaip kepada pembangunan kereta elektrik yang sebenar nanti. 

"Banyak lagi Research and Development (R&D) yang perlu dijalankan dan mengharapkan ada pihak yang sudi menyalurkan geran penyelidikan bagi menghasilkan kereta elektrik yang lengkap. 

"Mini E-Car ini merupakan satu titik tolak penghasilan kenderaan elektrik buatan Malaysia khususnya di negeri Terengganu, hasil kepakaran pelajar dan pensyarah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) Politeknik untuk kegunaan orang awam  pada masa akan datang," ujarnya. 

Tambahnya lagi, di Andvance Technology Education Centre(ATeC) mereka menggalakan pelajar dan pensyarah untuk menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam bidang automotif sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. 

"Kami berhasrat untuk menjadi ATeC sebagai Pusat Kejuruteraan Automotif Elektrik dan Hibrid yang bertauliah di zon pantai timur menjelang 2025," katanya.


Tag: