Pegawai JKM, Norazmy bersama pegawainya meninjau tapak bangunan yang sedang dibaik pulih untuk dijadikan Pusat Aktiviti Warga Emas di Kuala Berang. |
Pegawainya, Norazmy Adenan berkata, PAWE akan menyediakan aktiviti dan program secara percuma untuk kumpulan sasarnya dalam kalangan warga emas, berusia 60 tahun dan ke atas.
"Sebenarnya PAWE adalah persediaan dalam menghadapi status negara tua menjelang 2035.
"Melaluinya, kita tidak mahu menempatkan warga emas di pusat penjagaan orang tua, berikutan kebanyakan mereka masih kuat dan mampu berdikari dan menjadikan pusat ini sebagai pusat integrasi perkongsian ilmu kepada generasi baru.
"Kewujudan PAWE membantu mengurangkan kemungkinan anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua dan pada masa sama, ia dapat mengelakkan warga emas daripada kesunyian dan tidak melakukan sebarang aktiviti di rumah ketika anak keluar bekerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat tapak projek di Kuala Berang, di sini hari ini (26 Ogos).
Justeru, antara pengisian program di pusat berkenaan akan menjurus kepada aspek keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan dan latihan bersesuaian.
Kata Norazmy, ia sesuai dengan objektif penubuhannya bagi memanfaatkan masa terluang dalam kalangan warga emas menyertai aktiviti berfaedah seperti terapi muzik, senaman dan sebagainya yang boleh dilakukan bersama-sama di pusat itu nanti.
Tambahnya, PAWE yang kini dalam proses baik pulih sejak awal Ogos akan beroperasi sepenuhnya pada awal Oktober 2018 dan dijangka boleh memuatkan 40 warga emas dalam satu masa.
"Pengurusan PAWE akan diuruskan oleh Kelab Warga Emas Kuala Berang yang dipengerusikan oleh Tengah Abu Bakar dengan pantauan pihak JKM dengan bantuan seorang penyelia dan dua petugas yang bakal ditempatkan di pusat berkenaan.
"Pihak kami berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang menyumbangkan RM80,000 bagi tujuan pembersihan, pembaikian kecil dan pembelian aset termasuk RM33,000 geran pengoperasian untuk setahun," katanya lagi.
Pihaknya juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang meluluskan bangunan sedia ada untuk dijadikan pusat asuhan ini dengan kadar segera.