KUALA TERENGGANU, 30 Mei – Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 200,000 orang sepanjang tahun 2024 setelah memperkenalkan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, menyatakan bahawa tahun lalu PSKT berjaya menarik 167,000 pengunjung, dan mereka ingin meningkatkan jumlah tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa PSKT akan memperkenalkan lebih banyak teknologi canggih seperti AI dalam program-program dan pameran mereka.
“Ketika kita bercakap mengenai AI, sering kali terdapat kekurangan pemahaman yang mendalam mengenainya.
“Oleh itu, di PSKT, kami bertekad untuk memperkenalkan konsep AI dan 'Big Data' kepada pengunjung kami, terutama kanak-kanak, untuk memastikan mereka mempunyai pemahaman yang tepat mengenai teknologi ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian dan Menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Bersama Rakan Strategik bertempat di PSKT, Kampung Laut di sini semalam.
Perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tambah Huzairil, PSKT akan bekerjasama dengan agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) , Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan MIMOS untuk menyediakan aktiviti yang menarik dan mudah difahami, terutama untuk kanak-kanak dari semua peringkat sekolah.
“Matlamat utama adalah untuk memberi pengetahuan kepada pengunjung tentang kegunaan dan faedah teknologi AI dalam kehidupan harian.
"Dengan cara yang menyeronokkan dan mendidik, PSKT berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dan menjadi destinasi utama untuk pembelajaran dan hiburan di Terengganu," ujarnya.