Polemik mengenai royalti petroleum nampaknya masih belum reda selepas kerajaan Terengganu mengesahkan tidak menerima pembayaran wang terbabit sebagaimana sepatutnya.
Mengikut rekod, anggaran lima peratus yang patut diterima kerajaan pada 2023 adalah RM1.524 bilion, tetapi hanya RM802 juta dibayar, sekali gus menjadikan baki belum dibayar sebanyak RM722.74 juta.
Bagi 2024 pula, pembayaran pertama iaitu sehingga Mac lalu adalah RM302 juta berbanding anggaran sepatutnya dibayar adalah RM762 juta, belum dibayar RM460.21 juta, ini menjadikan jumlah hutang sebenar RM1.182 bilion.
Jumlah yang diterima pula terhad, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata sebanyak RM172.3 juta dibelanjakan untuk emolumen.
“RM103.1 juta untuk ‘deffered and scheduled payment’ dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam,” jelasnya.
Jika trend penafian royalti ini berterusan, dikhuatiri nasib ‘malang’ akan menimpa rakyat Terengganu kerana pelbagai keistimewaan yang diperoleh sebelum ini bakal ditarik perlahan-lahan dan lesap sekelip mata.
Umum mengetahui, Kerajaan Terengganu memanfaatkan sepenuhnya wang royalti minyak untuk agenda kebajikan rakyat, hasil minyak adalah sumber utama kewangan negeri berbanding kutipan cukai yang dilihat tidak digemari dan membebankan rakyat.
Jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang mempunyai persamaan pada aspek penyumbang utama kepada hasil negeri masing-masing iaitu premium dan cukai berkaitan tanah, Terengganu adalah negeri tercorot atau paling sedikit mengutip cukai ini.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, Terengganu berada di kedudukan terbawah kutipan hasil (jika ditolak Dana Khas/Pemberian Khas atau Wang Ehsan) dengan jumlah hanya RM305.32 juta berbanding Pahang (RM865.99 juta), Kedah (RM688.04 juta), Kelantan (RM572.44 juta), Melaka (RM458.25 juta) dan Negeri Sembilan (RM397.44 juta).
Manakala, bagi hasil kutipan cukai pula, Terengganu juga di kedudukan paling bawah dengan hanya merekodkan kutipan RM67.82 juta, jauh ditinggalkan Pahang (RM422.07 juta), Kelantan (RM151.82 juta), Kedah (RM289.21 juta), Melaka (RM116.16 juta) dan Negeri Sembilan (RM146.88 juta).
Dalam erti kata lain, rakyat Terengganu mendapat keistimewaan tidak dikenakan cukai atau membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan kerana hasil royalti minyak sudah menjadi penyumbang utama hasil kewangan negeri.
Selain itu, melalui royalti, rakyat Terengganu dapat menikmati pelbagai keistimewaan lain seperti bantuan dana raya yang wujud ketika Barisan Nasional memerintah, ketika itu royalti yang dinamakan wang ehsan dibayar terus secara dengan nilai royalti paling tinggi dibayar mencecah RM2.35 bilion pada 2012 melebihi peruntukan belanjawan Terengganu 2012 iaitu hanya RM1.95 bilion.
Ini membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan lain termasuk pembelian bas dua alam dan pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memantapkan industri pelancongan dan sukan.
Ketika era pentadbiran Parti Islam Semalaysia (PAS) pula, inisiatif baharu berbentuk kebajikan terus kepada rakyat dirancakkan, antaranya I-fitri, I-siswa, pencen rakyat, kad sejahtera, wad kelas tiga percuma, lesen motosikal percuma, penghapusan cukai pintu dan banyak lagi.
Semua bantuan kebajikan ini menggunakan duit royalti yang diterima, ia mengalir terus kepada rakyat, bayangkan jika ia disekat.
Apabila royalti tidak dibayar sebagaimana sepatutnya, inisiatif ini perlahan-lahan akan hilang dan menanti masa untuk ‘dikuburkan’. I-fitri, I-siswa, lesen motosikal percuma dan pencen rakyat sudah ditangguhkan, kini ada ura-ura wad kelas tiga percuma yang dinikmati B40 juga akan dihentikan gara-gara sekatan royalti.
Sudahlah kos sara hidup makin menggila, dek kerana sekatan hak royalti kini bantuan daripada kerajaan negeri menjadi terhad, cukai pula mungkin terpaksa dikutip sebagaimana negeri-negeri lain, ini malapetaka besar buat rakyat Terengganu.
Mujur di pihak kerajaan negeri, sudah ada usaha untuk mengatasi ‘janji palsu’ royalti serta masalah permintaan minyak dunia yang semakin berkurang.
Ahmad Samsuri menegaskan, pihaknya sedang memacu ekonomi negeri berpandukan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi.
“Strategi tersebut termasuk kajian semula cukai, serahan GLC, sumber galian dan mineral, sumber batuan, sumber air, sumber hijau serta fi pelancongan dan rekreasi dengan jumlah jangkaan nilai hasil (secara berfasa) sebanyak RM1 bilion pada tahun 2030.
“Menerusi tindakan ini kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak, penggal lalu kita berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti.
“Pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE),” kata Ahmad Samsuri.
Namun, di sebalik usaha ini, sudah tentu ia memakan masa yang lama untuk mendatangkan hasil, kesabaran rakyat Terengganu amat dituntut di samping terus memperjuangkan hak royalti.
Justeru, dalam mendepani cabaran mendatang, rakyat Terengganu perlu bersatu hati memperjuangkan hak masing-masing dan bersama mendokong sebarang usaha untuk mengangkat kembali ekonomi negeri ke tahap tertinggi, kerajaan negeri pula perlu bersungguh-sungguh, usah hirau ‘suara nyamuk’, yang penting rakyat mesti dijaga.
Semoga rakyat Terengganu terus terbela.
Muhammad Husaif Mamat,
Ketua Editor TRDI News.