KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Sinergi erat antara kerajaan negeri dan penggiat seni budaya mampu memperkasakan industri itu di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan negeri dan penggiat seni budaya dalam melestarikan serta mempromosikan warisan budaya Terengganu.
Menurutnya, langkah itu dianggap sebagai langkah strategik dalam memartabatkan kekayaan budaya Terengganu dan memperkukuhkan identiti negeri.
“Sinergi antara kerajaan negeri dan penggiat seni budaya adalah kunci kepada pembangunan warisan budaya Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis dialog penggiat seni budaya dan pelancaran program temu teater di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu (JKKNT) semalam.
Tambah Razali, melalui kerjasama yang kukuh, inisiatif tersebut dapat memperkaya budaya tempatan dan memperluaskan pengaruhnya kepada masyarakat tempatan dan pelancong.
Beliau berharap, warisan budaya Terengganu dapat terus berkembang dan menjadi daya tarikan utama dalam industri pelancongan negeri.
“Dengan sinergi yang semakin kukuh antara kerajaan negeri dan penggiat seni budaya, Terengganu dijangka akan terus menjadi destinasi pelancongan budaya yang menarik dan memukau,” ujarnya.