Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama 2,000 Rakyat

MARANG, 3 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-62 tahun.

Program yang berlangsung di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu dihadiri lebih daripada 2,000 peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.

Terdahulu, Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.

Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Forum bertajuk 'Syariah Islam: Cabaran dan Halangan' itu disiarkan secara langsung di saluran Facebook TV Darul Iman serta beberapa lagi saluran lain.

Mengulas lanjut, forum itu menampilkan Ustaz Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Prof Madya Dato’ Muhamad Asri Abdullah, dan Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa.

Antara intipati forum yang berlangsung selama sejam, dari pukul 9.00 hingga jam 10.15 malam itu ialah penekanan terhadap keunggulan pendidikan dan kehebatan masyarakat di negeri Terengganu.

Menurut Abdullah Munsyi, kehebatan negeri Terengganu terserlah dalam empat perkara utama iaitu yang pertama, kesedaran ilmu pengetahuan rakyat Terengganu jauh melampaui negeri-negeri lain yang pernah dikunjunginya. 

Kedua, pelajar-pelajar dari Terengganu menggunakan kitab-kitab dalam bahasa Arab sekali gus mengutamakan keaslian bahasa tersebut berbanding bahasa Jawi. 

Ketiga, khat-khat atau tulisan-tulisan Arab Jawi rakyat Terengganu memukau dengan keindahan dan kehalusan seni, memenangi hati melebihi karya dari negeri-negeri lain. 

Terakhir, bacaan-bacaan Al-Quran oleh penduduk Terengganu memukau dengan taranum serta teknik tajwid yang cemerlang, menjadikannya terkenal dan dihormati seantero negeri.

 


Tag: