Syarikat Gergasi China, Terengganu Jalin Kerjasama Strategik

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Kunjungan delegasi, Sinopharm Group Co. Ltd dan AJ Research & Pharma ke Terengganu menjadi titik permulaan bagi kerjasama strategik antara syarikat gergasi China itu dengan kerajaan negeri dalam industri kesihatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri menganggap bahawa pertemuan tersebut sebagai satu sejarah penting bagi negeri Terengganu. 

“Kerajaan Negeri berbesar hati menerima kunjungan delegasi tersebut dan merasa bangga kerana Sinopharm adalah antara syarikat pemborong dan peruncit produk farmaseutikal serta penjagaan kesihatan terulung di China. 

"Tambahan pula, mereka merupakan pembekal utama peralatan perubatan dan perkhidmatan dalam rantaian bekalan,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, Pertemuan itu menunjukkan komitmen Terengganu untuk terus membangunkan sektor kesihatan negeri dengan sokongan rakan strategik dari luar negara. 

“Kerajaan Negeri optimis bahawa kerjasama ini akan membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Terima kasih atas pertemuan bermakna ini, moga ada pulangan buat kedua-dua pihak,” ujarnya.

 


Tag: