TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
KUALA NERUS, 6 Februari- Kerajaan Terengganu menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, yang telah membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berharap, cadangan tersebut diteliti sebaik mungkin Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
"Kita telah biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) dan malan norma baharu ini hampir setahun. Kita telah melalui fasa-fasa kedegilan dam semua telah tahu akibat yang berlaku jika tidak patuh SOP dari sudut jangkitan serta kita tidak akan dapat beraksi.
"Pengajaran sebelum ini sudah cukup memberikan sesuatu sebab yang kuat untuk kita patuhi SOP, katanya.
Beliau berkata demikian ketika di sidang media di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.
Jelasnya, kelonggaran itu perlu memandangkan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) akan berlangsung tidak sampai setahun lagi.
"Di sini sekarang ini, paling dekat adalah Sukan Terengganu (SUTERA) yang akan diadakan Oktober ini dan kita cuma ada masa dalam sembilan bulan untuk atlet di semua daerah melakukan persiapan.
"Kita juga di MSNT sangat perlu kepada kelonggaran ini kerana SUKMA untuk memastikan atlet kita dapat latihan yang maksimum. Ini termasuk antara sebab kita berikan sokongan atas cadangan ini," katanya.
Wan Sukairi turut menyokong penuh pelaksanaan SOP norma baharu dalam setiap latihan dan penganjuran kejohanan sukan yang akan diadakan.
"Sebab itu, antara yang dimohon ialah supaya diberikan garis panduan tertentu apa yang dibenarkan serta apa yang tidak dibenarkan. Bagi penggiat sukan, kita memberikan komitmen bukan sahaja untuk membiasakan tetapi untuk bersungguh-sungguh mengikuti apa sahaja SOP yang diberikan nanti kerana kita telah ambil pengajaran akibat pelanggaran SOP itu selama hampir setahun melaluinya," jelasnya.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah membentangkan kepada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi permohonan kelonggaran pembukaan sektor sukan dan rekreasi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).