KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk martabatkan Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia perlu bagi membolehkan Terengganu mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negeri maju dan meningkatkan kualiti pendidikan yang dapat melahirkan para ilmuan dalam semua bidang STEM.
“Memandangkan dunia telah mula bersaing dan rancak mengusahakan pemodenan teknologi maklumat bagi menuju Fourth Industrial Revolution, Terengganu juga perlu memandang jauh kehadapan supaya kita tidak ketinggalan dalam melahirkan saintis dan pakar-pakar bidang professional.
“Justeru itu, kita harus bersiap sedia dari sekarang supaya kita dapat melahirkan golongan professional yang mantap dari segi sahsiah diri yang terpuji,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu teks ucapan yang dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah sebagai wakil beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan STEM ExxonMobil & Penyampaian Sumbangan ExxonMobil Untuk Program-Program Kemasyarakatan Negeri Terengganu 2024 di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Dalam program tersebut, seramai 31 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil dengan hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang dan tiga Anugerah Kecemerlangan Guru STEM yang membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 setiap seorang.
Manakala, empat buah sekolah iaitu SMK Belara, SMK Dato Haji Mohd Said, SMK Bukit Guntong dan SMK Tengku Bariah menerima Anugerah Sekolah Menengah Harian Terbaik STEM dengan hadiah wang tunai RM1,500 bagi setiap mata pelajaran.
Dalam masa sama, SMK Tengku Bariah turut dianugerahkan Sekolah Menengah Harian Terbaik Keseluruhan Mata Pelajaran STEM serta membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 dan Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Daerah Peningkatan Peratusan Tertinggi Calon STEM juga membawa pulang hadiah bernilai RM2,000.
Sementara itu, ExxonMobil juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM530,000 untuk program kemasyarakatan di Terengganu bagi tahun 2024.