• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

8 Pemohon Terima Rumah Mampu Milik Paya Lawas Terengganu

Pegawai penyelaras DUN Bukit Besi (dua dari kiri), Ghazali Sulaiman menyerahkan kunci RMM kepada pemohon yang berjaya.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Januari - Hajat memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila seramai lapan pemohon berjaya menerima Rumah Mampu Milik (RMM) di Paya Lawas.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar pada wajah pemohon yang berjaya mendapatkan rumah itu.

Jelasnya, rumah kediamaan sememangnya menjadi impian dan keperluan yang sangat penting untuk setiap orang untuk bagi menjalani kehidupan seharian.

"Kita mengharapkan agar rumah yang akan didiami ini dapat menyempurnakan kehidupan mereka.

"Kita sedia maklum bahawa memiliki rumah kediaman adalah impian setiap mereka yang berkeluarga bagi menjadi tempat perlindungan serta menjalani kehidupan berkeluarga dengan selesa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengundian Lot, Tandatangan Perjanjian, dan Penyerahan Kunci RMM di Pusat Khidmat DUN Bukit Besi semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah wakil Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT), Mohd Fauzi Taha.
Pemohon yang berjaya mendapatkan RMM mengucapkan terima kasih kepada pegawai penyelaras DUN.
Beliau menambah, mereka yang terpilih itu diharap dapat mengikuti segala syarat dan perjanjian yang telah dipersetujui semasa proses dan tapisan daripada PERMINT.

"Kita berharap agar segala perjanjian dan syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi oleh kelapan-lapan mereka ini.

"Antara syaratnya adalah rumah berkenaan perlu benar-benar didiami, bukan duduk sekejap-sekejap serta hanya menjadi persinggahan," tambahnya.

Menurutnya, majlis penyerahan RMM ini menjadi bukti bahawa Kerajaan Terengganu benar-benar memahami kesusahan dan keperitan yang dihadapi oleh rakyat.
Pegawai penyelaras DUN, Ghazali Sulaiman bersama-sama pemohon yang berjaya mendapatkan RMM.
Kerajaan negeri juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu memudahkan setiap urusan rakyat di negeri itu ke arah melahirkan negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

Tag: