KUALA TERENGGANU, 27 September - Pesta Kopi Terengganu 2024 kali ini menyasarkan kehadiran 50 ribu pengunjung ke program tersebut yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bermula semalam hingga Sabtu ini.
Penganjur Acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, program anjuran Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu bertujuan menghimpunkan ramai pemain industri untuk memartabatkannya sebagai perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan lumayan terutama dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, seramai 43 usahawan kopi tempatan seluruh negara berkumpul untuk mempersembahkan produk minuman kopi masing-masing serta menunjukkan pelbagai cara dan seni penyediaan kopi.
"Kita sasar peningkatan kehadiran itu susulan kejayaan program tersebut yang bermula pada tahun 2023 yang mana berjaya menarik 30 ribu pengunjung pada tahun lepas.
"Pihak kami juga telah buat lebih banyak penambahbaikan termasuk tiga pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000.
"Kita jangka nilai jualan yang bakal direkodkan ialah sebanyak RM800,000 sepanjang tiga hari pameran ini berlangsung kerana jumlah pempamer meningkat lebih sekali ganda malah penyertaan pertandingan juga penuh hanya dalam tempoh seminggu selepas dibuka,"
katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Menurut Mohd Haziq, pesta itu bertujuan mengetengahkan inisiatif usahawan tempatan dan menonjolkan seni dan kreativiti dalam pembuatan kopi.
Tambahnya, kewujudan pesta kopi ini sangat bagus, kerana menghimpunkan vendor-vendor kopi tempatan dari pelbagai latar belakang, pelbagai negeri dan sudah semestinya dianggap syurga kopi buat peminat kafein.
"Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah.
"Bukan itu sahaja, mereka turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi," ujarnya.
Dalam masa sama, Pesta Kopi Terengganu itu juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA) sebagai antara tarikan pengunjung ke negeri berkenaan.